Khamis, 10 September 2015

PENGARUH PERKEMBANGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)

PENGENALAN
Perkembangan teknologi maklumat serta penggunaan komputer membawa implikasi yang besar ke atas kehidupan manusia, khususnya dalam bidang pendidikan. Pengaplikasian teknologi ini dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik pedagogi guru. Penggunaan teknologi telah dapat merevolusikan teknik pengajaran guru,kaedah murid belajar dan secara keseluruhannya cara pendidikan dikendalikan sesuai dengan era masa kini. Pengaruh TMK melalui internet juga telah memberi pendedahan kepada pelajar tentang pemerolehan sumber maklumat alternatif seperti perpustakaan maya selain buku teks atau mengunjungi perpustakaan. Jika pelajar dididik untuk menggunakan internet secara berkesan, para guru berupaya melahirkan satu genarasi yang dinamik dan progresif kerana dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini.

Cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran ini boleh dilihat daripada kesediaan guru yang meliputi tiga aspek iaitu tahap kemahiran, pengetahuan dan sikap.

•   Kemahiran Teknologi Maklumat Guru

Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan yang berkualiti, guru merupakan agen perubahan yang penting. Oleh itu, penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan guru adalah dituntut. Ia penting bukan sahaja untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran malah daripada aspek pentadbiran dan
 pengurusan sekolah. Oleh itu, langkah-langkah seperti bengkel dan kursus berkaitan teknologi maklumat giat dijalankan untuk memantapkan guru-guru khususnya dalam aspek berkaitan teknologi maklumat. Guru mesti bersedia untuk memikul cabaran ini.

·            Pengetahuan Teknologi Maklumat Guru

Pengetahuan serta sikap terhadap komputer adalah dipengaruhi oleh kekerapan penggunaan komputer. Semakin kerap seseorang individu menggunakan komputer, tahap pengetahuannya juga akan semakin meningkat. Tahap pengetahuan teknologi maklumat guru boleh ditingkatkan melalui kursus-kursus teknologi maklumat. Oleh itu, guru-guru mesti bersedia mengikuti kursus-kursus teknologi maklumat tersebut dan sanggup mengorbankan masa untuk diri dan keluarga.

·            Sikap Guru Terhadap Teknologi Maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Sikap adalah sesuatu gambaran dalaman individu yang merujuk kepada kecenderungan untuk berkelakuan positif atau negatif terhadap benda, situasi, institusi, konsep atau individu lain. Beberapa tinjauan literatur lepas telah menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang rapat antara sikap dengan penggunaan teknologi maklumat dengan pengajaran dalam bilik darjah (Mohamad Nabzrim & Mohamad Nayan, 1997; Adenan, 1999; Krishnan et al., 2007). Oleh itu, guru-guru khasnya mereka yang telah berada dalam zon selesa perlu mengubah sikap terhadap perkembangan TMK supaya lebih kerap menggunakan TMK dalam bilik darjah.

·            Perisian Penyampaian Teknologi Maklumat

Perisian penyampaian teknologi maklumat adalah dianggap sebagai satu alat yang dapat membantu guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran serta tugas lain. Menurut Chao et al. (2003), seseorang guru yang kompeten sekurang-kurangnya menguasai kemahiran asas menggunakan komputer, berkemahiran menggunakan perisian pemproses kata, perisian pangkalan data, perisian hamparan elektronik, perisian berkaitan statistik,
grafik, menggunakan teknologi Internet, laman web serta pengetahuan bagaimana komputer berfungsi. Tetapi sejauh manakah guru-guru dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas tersebut?

•          Mendidik Pelajar Menggunakan Internet Secara Berkesan

Selain cabaran dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap guru, guru juga menghadapi cabaran bagaimana hendak mendidik generasi muda menggunakan internet secara berkesan. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada pengaruh negatif internet.

Kesimpulannya, selain kemahiran alatan produktiviti iaitu pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, persembahan, pangkalan data dan Internet, tumpuan kursus dan latihan perlu ke arah kemahiran lain seperti kemahiran mencari dan memilih maklumat daripada Internet, pembinaan laman web dan juga mengarang perisian kursus pendidikan yang sesuai dengan pengajaran subjek.

Akhir sekali, yang lebih penting adalah kebolehan untuk menyebatikan kemahiran-kemahiran tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana matlamat kita adalah untuk menggunakan teknologi komputer dalam pendidikan secara am dan dalam pengajaran dan pembelajaran secara khusus. Namun begitu, harus diingat bahawa teknologi hanya merupakan alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ia tidak akan dapat menggantikan kedudukan guru dalam erti kata yang luas. Pendidikan hari ini adalah untuk kecemerlangan masa hadapan.

1.9.4   Cara Menangani Isu Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Usaha Kementerian Pelajaran tidak akan berjaya jika para guru tidak dibudayakan sepenuhnya akan penggunaan komputer dan TMK. Pengalaman di negara maju menunjukkan lima keperluan perlu ada jika


Kementerian Pelajaran ingin meningkatkan pendedahan dan penerimaan guru kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Keperluan itu ialah:

•          sikap guru dan pelajar mestilah positif dan bersedia untuk berubah.

•          prasarana komputer dan rangkaian komunikasi mestilah lengkap dan mencukupi.

•          tenaga yang terlibat untuk memperkenal dan memperluaskan teknologi maklumat mestilah mahir.

FUNGSI KOMPUTER DALAM PENDIDIKAN
  • alat komunikasi
  • memudahkan pemahaman
  • sumber maklumat
  • pendidikan jarak jauh dapat dijalankan
  • reformasi dalam pendidikan
  • sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran
  • mudah menyampaikan maklumat
  • dapat berhubung dan berkongsi pendapat dengan cepat dan pantas



Tiada ulasan:

Catat Ulasan