PENGENALAN
Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan tentang isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan murid sekolah. Secara umumnya masalah sosial merangkumi pelbagai perlakuan negatif atau buruk yang bertentangan dengan tatasusila ketimuran dan nilai-nilai murni serta yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
PUNCA BERLAKU MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA.
1. Peranan Ibu bapa
Seringkali dikatakan ibu bapa mempengaruhi kejayaan remaja khasnya pelajar dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang sentiasa memberi galakan & perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat ketekunan & keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran. (Jamal Darus, 1989). Ibu bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti dorongan & galakan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa & anak seta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukan personaliti, motivasi & pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Oleh itu, ibu bapa yang kurang memainkan peranan dalam pembentukan & perkembangan personaliti atau sahsiah remaja menyebabkan konflik sahsiah remaja tersebut. Ini menyebabkan remaja mencari jalan keluar dengan bersifat agresif & memberontak. Remaja yang mempunyai sifat tersebut lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah kerana berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini bermulanya pengaruh-pengaruh negatif yang menyebabkan remaja terlibat dengan masalah sosial.
2. Masalah Keluarga
Faktor yang ke 2 ialah masalah keluarga seperti keluarga yang berpecah belah akibat penceraian, kehilangan tempat bergantung dan seringkali berlaku pertengkaran di antara ibu bapa. Remaja yang mempunyai masalah keluarga sering kali mencari tempat bagi melepaskan tekanan yang mereka ada. Pada ketika ini, pengaruh daripada rakan-rakan banyak menjadi punca kepada remaja untuk terlibat dalam masalah sosial. Peranan daripada ahli keluarga lain dapat membantu mereka menentukan arah perjalanan mereka dalam menghadapi cabaran zaman moden ini.
3. Kurangnya Didikan Agama
Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam menghadapi cabaran sosial. Pendidikan agama perlu diterap dalam diri remaja sejak kecil. Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran & Hadith sebenarnya sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup. Islam sudah menerangkan secara jelas tentang bahana setiap gejala sosial jika dilakukan oleh orang Islam.
4. Pengaruh Rakan Sebaya
Dalam diri remaja, pengaruh lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat. Kelompok rakan sebaya diakui dapat mempengaruhi pertimbangan & keputusan seorang remaja tentang perilakunya. Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri & mempunyai pengaruh yang ketara. Mereka dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Jika rakan sebaya mempunyai sifat-sifat positif seperti berdisiplin & cenderung melakukan perkara yang menbawa kebaikan, begitu juga sifat remaja berkenaan. Tetapi jika rakan sebaya cenderung mempunyai sifat negatif, begitu juga sikap remaja berkenaan. Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya. Remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya & membentuk kumpulan sendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Paling teruk atas sebab pengaruh rakan sebaya ini akan mempengaruhi remaja terlibat dengan najis dadah, merogol, merompak & membunuh.
5. Penyalahgunaan IT
Di zaman penggunaan teknologi maklumat & komunikasi yang semakin berkembang pesat di Malaysia, ibu bapa berdepan dengan cabaran yang besar di dalam mengawal anak-anak mereka dari tidak menyalahgunakan teknologi ini. Antara penyalahgunaan IT yang paling popular sekarang adalah penyebaran video & gambar lucah di telefon bimbit. Muat turun aplikasi ini amat mudah didapati di kedai-kedai yang menawarkannya dengan harga semurah RM5. Bermula dengan ketagihan menonton aplikasi ini, remaja ingin mencuba. Maka terjadilah kes seks bebas & masalah pembuangan bayi yang semakin kritikal. Ada di antara remaja yang merakam aksi mereka melakukan hubungan seks atau merogol beramai-ramai & menyebarkan rakaman tersebut di dalam internet atau kepada rakan-rakan. Penggunaan laman web sosial seperti Facebook, Twitter & Friendster juga boleh menjadi virus sekiranya ia disalahgunakan. Tidak ada salahnya menambah kenalan tetapi jangan sesekali ia dijadikan tempat untuk memaparkan gambar atau video lucah. Disinilah terletak pentingnya peranan ibu bapa mengawal anak-anak mereka daripada melayari laman web lucah.
6. Rasa Ingin Tahu
Faktor lain yang membawa kepada berlakunya masalah sosial ini adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Selain itu, remaja sekarang lebih suka kepada cabaran & mudah terikut-ikut dengan gaya & gaya hidup lain daripada yang lain. Jika tidak kena pada caranya, remaja akan terjebak dalam masalah sosial. Sebagai contoh kes hamil luar nikah, memetik kenyataan Akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap terpedaya & sukar mengawal hawa nafsu dikenal pasti sebagai punca utma berlakunya gejala tersebut. Ini membuktikan, sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik atau buruknya serta akibat yang bakal diterima.
CARA MENGATASI GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA.
1. Peranan Ibu bapa
Kita telah ketahui antara punca utama dalam penglibatan remaja dalam gejala sosial ini adalah kurangnya perhatian & kasih sayang daripada ibu bapa & keluarga. Bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan, ibu bapa perlu memberi perhatian, bimbingan & kasih sayang kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya, maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya.
2. Peranan Sekolah
Pendidikan merupakan elemen penting dalam strategi pencegahan & sekolah merupakan institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial. Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenal pasti, merancang & melaksanakan segala program & aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan masalah sosial di peringkat sekolah & IPT untuk mewujudkan pemikiran generasi muda supaya menjauhi gejala sosial, menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah daripada terlibat dengan gejala sosial & mewujudkan persekitaran yang menjadikan masalah sosial itu dibenci & jijik.
3. Kesedaran Diri Sendiri
Remaja itu sendiri perlu ada kesedaran dalam menghadapi dunia yang penuh mencabar. Dalam soal ini, pemilihan rakan sebaya turut memainkan peranan dalam membentuk sahsiah diri remaja. Remaja perlu memikirkan baik atau buruk serta akibat sebelum melakukan sesuatu perbuatan dengan mendapatkan pandangan daripada ibu bapa & guru. Untuk mengelak dari terjebak dalam masalah sosial ini, remaja boleh melibatkan diri secara aktif dalam sukan & kem motivasi yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan & pertubuhan bukan kerajaan.
KESIMPULAN.
Semua anggota masyarakat perlu mengambil inisiatif untuk membendung gejala sosial ini dari terus menular dengan lebih serius. Setiap individu, keluarga & masyarakat di sesuatu kawasan perlu bekerjasama dan memainkan peranan dalam pencegahan gejala ini serta memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala sosial ini. Masyarakat juga perlu menyokong usaha pihak lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam melaksanakan program-program untuk remaja. Strategi jangka panjang ini juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang bahayanya gejala sosial ini jika tidak dibendung. Didikan agama perlu dititik beratkan dalam keluarga agar ia dapat dijadikan panduan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan